Thursday, December 6, 2012

Siapa yang lebih layak menerima undi seorang rakyat Malaysia

1. PRU 13 makin dekat, kempen secara tak rasmi di kedua-dua pihak makin hebat, walaupun parlimen masih belum bubar. Mahu tak mahu sebelum april 2013 kerajaan yang sedang memerintah harus mengisytihar tarikh PRU atau parlimen akan terbubar dengan sendiri.

2. Baik parti pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing punya kekuatan tersendiri. Saya sebagai salah seorang pengundi pernah mengundi kedua-duanya pada PRU yang berlainan.


3. Saya telah mengundi dalam 4 pilihanraya umum. Pada zaman dr mahathir undi saya untuk parti komponennya. Selepas pengganti beliau mengambil alih undi saya beralih ke pihak pembangkang.

4. Sepanjang sejarah saya mengundi, PRU 12 merupakan undi protes saya atas pemerintah. Tidak pernah saya begitu jelas dan tenang mengundi pembangkang pada ketika itu. Tetapi pada PRU13 kali ini, ia bukan lagi undi protes, kerana saya sudah dapat melihat gaya pemerintahan kedua-dua parti. parti komponen mana yang lebih dekat di hati saya, yang memahami hati saya dia yang akan saya pilih.

5. Saya adalah rakyat Malaysia. Pendapat saya adalah pendapat seorang rakyat malaysia kerana undi saya secara kolektifnya menentukan siapa akan memerintah Malaysia. Jadi siapa yang saya rasa lebih dekat dan memahami saya? Apa isu saya ketika ini? Saya termasuk dalam golongan pertengahan, tidak miskin dan tidak kaya. hakikatnya sekarang kuasa membeli saya sekeluarga semakin berkurangan tahun demi tahun. barangan yang sama dibeli setiap tahun, dengan kuantiti yang sama malah kualiti yang sedikit berkurangan tetapi pada harga yang tidak pernah turun malah semakin meningkat.

6. Banyak projek-projek baru diumum oleh pemerintah dibawah program ETP untuk terus memacu pembangunan negara. Ia suatu usaha yang bagus, tetapi dari pandangan peribadi saya ia bukan kritikal dan juga bukan keperluan utama rakyat pada masa ini. Pengetahuan saya tentang ekonomi amat cetek berbanding pakar-pakar ekonomi, tetapi saya tidak rasa dengan lambakan projek tersebut akan menurunkan harga barang keperluan harian rakyat. Malah ia akan mengakibatkan kenaikan harga barangan secara berterusan.

7. Apabila anda membeli daging di pasar, harga sekilo daging adalah RM24. Saiz sekilo daging adalah lebih kurang sebesar penumbuk lelaki dewasa. Bagi saya yang mempunyai 7 ahli keluarga, saiz daging sebesar penumbuk untuk sekali hidangan pun kadang-kadang berebut dan selalunya tak mencukupi. Setiap kali ke pasar, lebih dari RM50 terpaksa dibelanjakan, tidak pernah kurang. Menteri-menteri dari parti pemerintah tidak tahu semua ini kerana mereka tidak pernah ke pasar, semuanya dilakukan oleh pembantu rumah. Inilah maksudnya mereka tidak dekat dengan rakyat dan bagaimana mungkin mereka dapat memahami kesengsaraan rakyat.

8. Mereka juga tidak mengisi sendiri minyak kereta kerana semuanya ditanggung rakyat dan dibuat oleh pemandu peribadi mereka. Mereka tidak merasakan kesakitan seperti yang rakyat rasakan. Mereka tidak rasa kepedihan secara langsung sepertimana kepedihan yang dirasai rakyat. Apa yang pemerintah tahu, harga minyak ditentukan dan mengikut harga pasaran dunia. Prestasi Petronas dinilai berasaskan untung rugi, sudah tentulah Petronas harus mengikut harga pasaran dunia untuk mengekal dan meningkatkan prestasi mereka. Tetapi sebenarnya haruskah prestasi Petronas dinilai dari untung rugi?

9. Kalau pada 2010, apabila berbelanja bulanan di pasaraya RM350 sudah memadai, tetapi kini pada 2012 bagi perbelanjaan membeli barang-barang keperluan yang sama ketika di tahun 2010, saya terpaksa membelanjakan RM530 sebulan. Kenaikan sebanyak lebih 20% dalam masa dua tahun.

10. Orang Melayu islam sangat pantang apabila orang lain mengungkit-ungkit jasa yang pernah ditabur. Itu namanya tidak ikhlas. Tanggungjawab pemerintah adalah memberi pendidikan kepada rakyat, tetapi jika apabila rakyat sudah berjaya masuk keuniversiti dan mendapat kerja yang baik dan kemudiannya memilih untuk menyokong parti bukan pemerintah, itu adalah hak mereka. Tetapi jangan diungkit jasa yang lalu, kerana itu tanggungjawab pemerintah tidak kira siapa. Rakyat berasa sakit hati dan makin benci jika jasa itu diungkit-ungkit berulang kali.

11. Wakil rakyat pemerintah sebelum bertanding pun sudah mempunyai status dan taraf yang tinggi dalam masyarakat. Apabila menang pilihanraya jurang sosial ini menjadi semakin jauh. Nak berjumpa pun, rakyat biasa berasa malu, kerana wakil rakyat datang berjumpa mereka menaiki kereta mewah. Ini adalah lumrah orang Melayu kerana mereka hidup dalam masyarakat yang mempunyai sistem beraja, yang mempunyai struktur masyarakat yang ber kasta. Ada banyak lagi cerita-cerita sengsara rakyat bawahan jika pemerintah ingin mengambil tahu dan ambil peduli dengan nasib rakyat biasa.

12. Pemerintah menggalakkan rakyat berjimat cermat, tetapi pada masa yang sama pemerintah menunjuk-nunjuk di televisyen cara mereka membelanjakan wang rakyat dalam majlis-majlis melibatkan pemerintah mahupun parti mereka. Ini sangat jauh dari prinsip kepimpinan melalui teladan yang dijuarai pada era dr mahathir.

13. PAU 2013, bermula 27 dan berakhir 1 Disember, tidak banyak isu-isu pincang dalam masyarakat dibincangkan. Isu ekonomi yang dibincangkan hanya diperingkat makro. Tiada satu pun usul yang dibawa perwakilan berkaitan dengan isu bagaimana mengekang kenaikan harga barang dan inflasi dibincangkan.

14. Dipihak yang lain, wakil rakyat dari parti berlawanan membawa contoh yang sangat kontras dengan wakil pemerintah. Mereka hidup sama macam rakyat biasa, mereka duduk di rumah seperti kami, membawa kereta seperti kami, berbelanja dipasar seperti kami. Mereka memperjuangkan isu yang sama dengan masalah kami rakyat bawahan. Jadi siapa yang lebih dekat dihati rakyat? Ini bukan soal mereka memancing undi dengan berlakon-lakon, tetapi itu lah kehidupan harian mereka. Nak tipu macam mana memang rakyat jumpa mereka di pasar, di pasar raya setiap minggu membeli barangan keperluan keluarga. Tapi yang pastinya rakyat tidak pernah nampak wakil rakyat pemerintah setiap minggu dipasar, atau pasar malam ataupun di pasaraya. Anda pernah nampak mereka setiap minggu? Rakyat hari ini melihat dengan mata, hati dan fikiran dan mereka menilainya.

15. Hakikatnya rakyat makin kesempitan. Jika saya tergolong dalam golongan pertengahan pun sudah mula merasa bahang kesengsaraan tersebut, apatah lagi rakyat yang miskin. Kini kalau gaji RM2500 sebulan hidup di kuala lumpur, anda sudah masuk dalam kategori rakyat miskin. Inilah realiti walaupun pahit untuk ditelan.

16. Walaupun pada ketika ini situasi masih terkawal, rakyat juga masih waras kerana mereka masih mampu membeli barangan keperluan makanan seperti biasa walaupun harga nya amat memedihkan. Tidak hairan jika rakyat menjadi semakin tidak terkawal suatu hari nanti, jika kesengsaraan tersebut berterusan, hinggakan membawa satu hidangan ke meja keluarga pun menjadi makin sukar atau mungkin juga gagal.

17. Saya menjadi ahli parti utama komponen pemerintah sejak berumur 17 tahun. Saya tidak pasti nama saya masih ahli parti tersebut. Tapi yang pasti ia kini hanya tinggal nama tanpa roh dan jasad. Jika ada umur yang panjang, mungkin suatu hari nanti saya akan kembali mengundi parti tersebut. Siapa tahu.

Allahualam.

No comments:

Post a Comment