Tuesday, November 2, 2010

Kritik atas Teori Kuantiti Wang

Teori-teori yang diutarakan oleh ahli-ahli ekonomi klasik seperti Bodin, Fisher dan Marshall telah menghadapi banyak kritikan.

1. Kelemahan utama teori kewangan adalah mengandaikan bahawa guna tenaga penuh selalu berlaku dalam ekonomi sehingga nilai T adalah selalu tetap. Akan tetapi dalam ekonomi yang sebenar, pengganguran selalu berlaku.

Oleh yang demikian T akan dapat ditambah dengan mudah bila terdapat kenaikan dalam permintaan atas barangan. Hal ini menunjukkan bahawa bila terdapat kenaikan dalam keluaran, pertambahan dalam kuantiti wang tidak semestinya menaikkan harga dengan kadar yang sama. Ini adalah kerana kenaikan kuantiti wang yang menyebabkan kenaikan permintaan mungkin dapat dipenuhi.

Maka teori kuantiti wang mempunyai kelemahan dalam menjelaskan perubahan bekalan wang ke atas tingkat harga umum bila wujudnya pengangguran.

2. Kelemahan kedua teori kuantiti wang ialah mengandaikan halaju pusingan wang adalah tetap khasnya dalam jangka pendek.

Dalam ekonomi yang sebenar halaju pusingan wang adalah tidak tetap tetapi bergantung kepada tingkat kegiatan ekonomi.

Biasanya pada masa inflasi masyarakat cenderung membelanjakan wang mereka untuk mendapatkan barangan. Hal ini akan mempercepatkan halaju pusingan wang. Sebaliknya dalam masa kemelesetan iaitu pengangguran, masyarakat cenderung mengurangkan perbelanjaan mereka menyebabkan halaju pusingan wang bertambah lambat.

3. Teori persamaan pertukaran Fisher mengandaikan bahawa angkubah M, V, P dan T adalah bebas. Walaubagaimanapun sebenarnya M, V dan T bukan sahaja mempengaruhi P tetapi juga saling mempengaruhi antara satu dengan lain. Misalnya jika V bertambah bukan sahaja P akan bertambah tetapi juga mengurangkan T yang akan menaikkan lagi P.

Persamaan MV = PT, juga boleh dituliskan P = MV/T

Ini bermakna bahawa P tidak hanya bergantung kepada kuantiti wang (M) tetapi juga halaju pusingan wang (V) dan T iaitu jumlah urusniaga. Sebagai contoh kenaikan dalam kuantiti wang (M) akan hanya member sedikit kesan kepada tingkat harga (P), jika terdapat kekurangan yang sama dalam halaju pusingan wang (V) atau kenaikan dalam jumlah urusniaga (T).

4. Dalam persamaan pertukaran Fisher hanya melihat nilai wang dari segi penawaran sahaja dan melupakan sama sekali faktor permintaan. Contohnya semakin tinggi kuantiti wang semakin tinggi permintaan wang dan semakin tinggi orang ramai memegang wang. Kesannya adalah semakin rendah halaju pusingan wang di dalam pasaran. Sungguhpun dalam persamaan Cambridge ada menjelaskan tentang permintaan wang tetapi motif untuk permintaan wang ialah hendak menjalankan urusniaga.

Sebenarnya motif untuk memegang wang bukan sahaja untuk urusniaga tetapi juga untuk tujuan awasan dan spekulasi.

5. Teori kuantiti wang yang dikemukakan baik oleh Bodin, Fisher mahupun Marshall telah gagal menimbangkan kepentingan kadar bunga dalam mempengaruhi naik turun dalam tingkat harga. Sebenarnya kadar bunga memainkan peranan penting dalam menentukan pergerakan tingkat harga.

Bila kadar bunga adalah tinggi ini tidak mengalakkan pelaburan dan penggunaan, maka kesannya akan menyebabkan kejatuhan dalam harga. Sebaliknya bila kadar bunga adalah rendah, ini menggalakkan pelaburan dan penggunaan, maka kesannya akan menyebabkan kenaikan dalam tingkat harga.




No comments:

Post a Comment