Secara umum institusi dan pasaran kewangan yang utama terdapat di dalam ekonomi adalah Institusi Bank, Institusi Tabungan dan Pasaran Kewangan.
2 jenis institusi Bank adalah Bank Pusat dan Bank Perdagangan. Bank Pusat merupakan pihak berkuasa yang mengeluarkan mata wang sesebuah Negara. Selain itu tanggungjawab Bank Pusat adalah mengekalkan kestabilan ekonomi sesebuah Negara.
Bank Perdagangan pula biasanya dimiliki oleh pihak swasta yang bermotifkan keuntungan. Ia memainkan peranan yang paling penting dalam organisasi ekonomi moden. Dua fungsi utama bank perdagangan adalah menerima simpanan dan memberi pinjaman atau membuat pelaburan.
Institusi tabungan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga badan utama iaitu Bank Simpanan, Syarikat Insuran dan Kumpulan Wang Simpanan.
4 jenis pasaran kewangan yang utama adalah pasaran wang, pasaran diskaun, pasaran modal dan pasaran saham. Pasaran wang ialah pasaran untuk pinjaman yang berbentuk jangka pendek. Pasaran diskaun adalah berhubung erat dengan pasaran wang. Pasaran ini mengandungi gedung diskaun dan broker bil yang menguruskan bil perintah. Pasaran modal adalah pasaran untuk pinjaman yang berbentuk jangka panjang. Manakala pasaran saham adalah pasaran dimana jual-beli syer dan saham dijalankan.
Bank Pusat
Badan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan untuk mengendalikan operasi kewangan kerajaan dan mengawal kestabilan kegiatan badan-badan kewangan supaya menjamin agar badan-badan kewangan adalah menyokong dan selaras dengan dasar-dasar ekonomi kerajaan. Bank Pusat di Malaysia adalah Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1959 dibawah peruntukan Ordinan Bank Pusat Tanah Melayu, 1958.
Tujuan asas penubuhan Bank Negara adalah mengeluarkan mata wang dan menyimpan cadangan, bertugas sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada kerajaan, mewujudkan kestabilan kewangan dan struktur kewangan yang maju di dalam Negara dan mempengaruhi situasi kredit sehingga ia akan menguntungkan Negara.
Perbezaan di antara Bank Pusat dan Bank-bank lain
- Dalam sebuah ekonomi hanya wujud sebuah Bank Pusat tetapi terdapat banyak bank-bank lain. Akan tetapi Bank Pusat mempunyai kuasa yang lebih besar dalam mempengaruhi kegiatan ekonomi berbanding dengan kuasa yang dimiliki oleh oleh Bank-bank lain.
- Tujuan Bank pusat adalah mengawal kegiatan bank-bank perdagangan dan badan-badan kewangan lain. Selain itu, Bank Pusat juga bertujuan mencipta keadaan ekonomi yang stabil dan kadar pertumbuhan yang tinggi. Tujuan bank-bank lain adalah untuk mendapat keuntungan yang maksimum.
- Bank Pusat dimiliki oleh kerajaan sedangkan bank-bank lain dimiliki oleh pihak swasta
- Bank Pusat mempunyai hak dalam mengeluarkan mata wang sedangkan Bank-bank lain tidak mempunyai kuasa tersebut. Walaubagaimanapun Bank-bank perdagangan boleh menciptakan kredit daripada simpanan semasa.
Fungsi-fungsi Bank Pusat
4 fungsi utama adalah mengeluarkan mata wang, jurubank kepada kerajaan, jurubank kepada bank-bank perdagangan dan melaksanakan dasar kewangan.
Dalam melaksanakan dasar kewangan Bank Pusat sebagai lembaga kewangan Negara bertanggungjawab mengekalkan dan menjaga kestabilan kewangan melalui pengawalan penawaran wang dan penyediaan kredit. Bank Pusat melaksanakan dasar kewangan bertujuan untuk mempengaruhi bekalan wang atau kadar bunga yang wujud dalam ekonomi. Dasar kewangan yang dilaksanakan oleh Bank Pusat dapat dibezakan kepada dua kategori iaitu cara kuantitatif dan cara kualitatif.
Dasar kewangan kuantitatif adalah dasar kewangan yang bertujuan mempengaruhi jumlah bekalan wang dalam ekonomi. Dalam masa inflasi, bekalan wang harus dikurangkan supaya kegiatan ekonomi tidak menjadi terlalu berlebihan. Sebaliknya pada masa deflasi bekalan wang harus ditambah untuk memberi dorongan supaya kegiatan ekonomi dapat mencapai tingkat yang lebih tinggi.
Dasar kewangan yang bersifat kualitatif pula adalah bertujuan mempengaruhi dan mengawal bentuk dan corak pinjaman dan pelaburan.
Dasar kewangan yang bersifat kuantitatif adalah a)operasi pasaran terbuka, b)dasar kadar bank atau kadar diskaun, c) dasar keperluan kecairan minimum, dan d)deposit khas/cadangan khas
- Operasi pasaran terbuka melibatkan pembelian dan penjualan surat-surat jaminan kerajaan melalui bank pusat. Tujuan utama operasi pasaran terbuka ialah mempengaruhi kedudukan kredit dalam Negara. Pada masa inflasi, untuk mengurangkan kegiatan ekonomi yang berlebihan, bekalan wang dalam ekonomi harus dikurangkan. Melalui operasi pasaran terbuka, bank pusat akan menjual surat-surat jaminan kepada bank perdagangan dan orang ramai. Dengan membuat demikian, simpanan semasa masyarakat dan rizab yang dipegang oleh bank-bank perdagangan akan berkurang.
- Dasar kadar bank ialah kadar minimum dimana bank pusat sanggup mendiskaun semua bil-bil kelas pertama. Dasar kadar bank ini digunakan untuk untuk mempengaruhi kos pinjaman.
- Dasar keperluan kecairan minimum . Bank pusat mensyaratkan bank perdagangan memegang nisbah kecairan minimum contohnya sebanyak 20%. Kadar ini diubah mengikut keadaan ekonomi. Dengan melaksanakan dasar nisbah kecairan minimum, bank pusat dapat mengawal keupayaan bank dalam menciptakan kredit. Sekiranya kerajaan ingin menyekat penciptaan kredit misalnya semasa inflasi, maka bank pusat boleh meninggikan nisbah kecairan minimum. Ini akan mengurangkan deposit dan pinjaman bank perdagangan. Seterusnya keupayaan bank untuk menciptakan kredit menjadi terhad. Sebaliknya, semasa deflasi sekiranya kerajaan ingin mengembangkan ekonomi, ia boleh menurunkan nisbah kecairan minimum supaya dapat mengembangkan ciptaan kredit dan seterusnya mengembangkan pelaburan. Begitu juga bagi memastikan nisbah kecairan berkesan dalam menyekat penciptaan kredit, bank-bank perdagangan tidak harus mempunyai lebihan rizab tunai. Bank-bank perdagangan boleh juga menggunakan sebahagian daripada lebihan rezab untuk memenuhi keperluan nisbah kecairan yang bertambah.
- Deposit khas/rezab cadangan. Bank perdagangan menyimpan sebahagian dari simpanannya di Bank Pusat. Jenis simpanan ini tidak boleh dikeluarkan dari Bank pusat. Di Malaysia, jenis deposit khas ini dikenali sebagai rezab cadangan bank. Ia boleh berubah mengikut keperluan kegiatan ekonomi. Ketika inflasi, bank pusat akan meninggikan rezab cadangan dan sebaliknya rezab cadangan dikurangkan pada masa deflasi. Dasar kewangan kualitatif adalah seperti berikut:
- Kawalan kredit terpilih – syarat margin, kawalan atas gadaijanji, kredit ansuran, arahan khas dan dasar kadar bunga
- Pujukan moral – bank pusat mengadakan pertemuan dengan bank-bank dan menerangkan langkah-langkah dijalankan oleh kerajaan dan memujuk bank-bank melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk menjayakan tindakan kerajaan.
- Kawalan kredit terpilih – syarat margin, kawalan atas gadaijanji, kredit ansuran, arahan khas dan dasar kadar bunga
Bank Perdagangan
- Menerima deposit
- Membuat pembayaran untuk para penyimpan
- Menerima bayaran untuk para penyimpan
- Memberi pinjaman kepada para pelanggan
- Melalui akaun semasa
- Melalui overdraf
- Mendiskaun bil-bil pertukaran
- Melalui akaun semasa
- Membuat bayaran perintah tetap
- Mengeluarkan draf bank dan cek pengembara
- Perkhidmatan-perkhidmatan lain
Kunci Kira-Kira Bank Perdagangan
Kunci kira-kira menunjukkan tanggungan dan harta bank.
Harta :
- wang tunai (syiling dan kertas),
- wang senang panggil dan pinjaman
- bil-bil didiskaun
- baki-baki di bank-bank lain
- pelaburan yang dibuat
- pinjaman dan pendahuluan yang dibuat
No comments:
Post a Comment