Barangan yang digunakan sebagai wang adalah berlainan di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain dan diantara satu masa dengan masa yang lain. Walaubagaimanapun sesuatu barang yang digunakan sebagai wang yang baik mesti mempunyai sifat-sifat tertentu.
- Diterima Umum
Untuk berfungsi sebagai wang, ia mestilah boleh diterima oleh umum. Ini adalah satu sifat yang penting bagi apa sahaja barangan yang dianggap sebagai wang. Masyarakat akan menerima sesuatu barang sebab ia mempunyai nilai yang tersendiri. Sebaliknya jika masyarakat tidak menerimanya, barangan tersebut tidak boleh berfungsi sebagai alat perantaraan pertukaran.
- Kekurangan penawaran
Sesuatu barang yang digunakan sebagai perantaraan pertukaran seharusnya bersifat kekurangan penawaran tetapi tetapi tidak terlampau kurang. Ini adalah kerana jika pembekalan barang tersebut adalah terlalu banyak maka nilainya akan jatuh. Sebaliknya jika terlampau kurang, akibatnya ialah tidak cukup untuk memenuhi kehendak-kehendak masyarakat.
- Kestabilan nilai
Barang yang digunakan sebagai wang mestilah mempunyai nilai yang stabil. Jika nilai wang turun naik dengan hebatnya ini akan menimbulkan masalah ekonomi dan sosial. Untuk mengelakkan masalah tersebut, barang yang digunakan sebagai wang harus dapat dikawal dengan sempurna mengikut keperluan tiap-tiap Negara.
- Tahan lama
Barang yang diguna sebagai wang mesti bersifat tahan lama dan nilainya tidak akan berubah pada masa depan. Ini bermakna barang tersebut harus dapat di simpan dengan lama tanpa menjadi rosak
- Mudah dikenali dan dibawa
Barang yang diguna sebagai wang mestilah mudah dikenali dan sukar dipalsukan. Selain itu mudah dibawa kemana-mana dan dapat dipindah dari seorang ke seorang yang lain dengan mudah. Jika logam digunakan sebagai wang tentulah sukar bagi seseorang untuk membawa wang tersebut dalam jumlah yang banyak kerana terlalu berat.
- Keseragaman boleh dibahagi dan dikira
Barang yang digunakan sebagai wang mestilah mempunyai kualiti yang seragam. Ini bermakna barang yang digunakan sebagai wang bukan sahaja boleh dibahagi-bahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil tetapi juga unit-unit yang dibahagikan ini mestilah mempunyai sifat yang seragam. Selain itu, unit-unit yang dibahagikan tersebut juga harus boleh dikira dengan senang. Sifat-sifat ini membolehkan pertukaran sebarang saiz barang-barang dan perkhidmatan-perkhidmatan. Contohnya wang kertas dan syiling digunakan kerana mudah dibahagi. Jika anda beli roti berharga 30 sen dan anda bayar $1, anda akan dapat kembali 70 sen.
No comments:
Post a Comment