Sunday, November 17, 2013

Syahadah

1. Bismillah

2. Kita menjadi Islam apabila mengucap dua kalimah syahadah, iaitu kalimah pertama pengakuan bahawa tiada tuhan yang disembah melain Allah dan kalimah kedua mengakui Nabi Muhammad saw adalah rasul Allah.

3. Konsep syahadah dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian yang besar dan amat penting iaitu:

1) Syahadah melalui perkataan

2) Syahadah melalui perbuatan

(rukun syahadah ada 3, pertama lafaz syahadah, kedua membenarkan makna syahadah tanpa sebarang syak dan ragu dalam hati dan melaksanakan syahadah yang dilafaz melalui amalan dan perbuatan)

4. Syadah melalui perkataan apabila seseorang mengungkapkan melalui sebutan/lafaz lidah atau misalnya melalui pena mengakui Allah yang satu dan Nabi Muhammad rasul Allah. Syahadah melalui perkataan sahaja tidak lengkap tanpa amalan atau perbuatan yang menjadi sebahagian lagi tunjang syahadah bagi melengkapi keseluruhan kekuatan syahadah tersebut. Namun begitu walaupun kita mengungkapkan syahadah melalui perkataan, tidak semestinya ia dapat di lazimkan melalui perbuatan/amalan (syahadah perbuatan). Ini adalah penyakit kronik umat islam masa kini.

5.Pada hari ini di negara kita mempunyai ramai peguam, pendakwaraya, magistret, hakim - hakim yang dikategorikan sebagai pengamal undang-undang. Setiap hari pengamal undang-undang ini menyatakan bahawa undang- undang dari Allah adalah tidak baik dan undang-undang ciptaan manusia lebih baik. Mereka penyokong kuat undang-undang manusia walaupun lidah mereka mengatakan Allah tuhan mereka, Al Quran panduan lengkap untuk mereka dan Nabi saw adalah rasul Allah iaitu contoh terbaik untuk mereka ikuti. Mereka penyokong kuat undang-undang manusia ini walaupun mereka tahu ia berasal dari Eropah. Iaitu bangsa yang sentiasa menindas Islam, gembira apabila Islam hancur dan tidak senang hati melihat umat Islam bersatu dan maju.

6.Di peringkat universiti, kolej dan institusi pengajian termasuk pentadbir dan pensyarah- pensyarahnya, mereka mengakui bahawa segala teori yang dihasilkan oleh ilmuwan Eropah dalam bidang falsafah, sejarah, sains, ekonomi, politik, undang- undang, akhlak dan segala teori yang lahir daripada fahaman materialisme Eropah lebih dianggap logik dan disokong oleh kajian sains. Sementara pandangan Islam dalam bidang ilmu dan teori-teori tersebut tidak langsung diambil kira oleh para pensyarah dan profesor universiti kita.

7.Demikian juga apabila anda perhatikan pengakuan para sasterawan melalui hasil karya mereka atau hasil pemikiran mereka yang menunjukkan mereka tidak mempunyai nilai sastera atau budaya tersendiri yang dapat mempengaruhi dan mencorak hasil sastera mereka melainkan pengaruh yang dibawa oleh sasterawan Inggeris, Perancis dan Rusia. Bagi mereka idea Islam yang selama ini melimpah ruah telah kering kontang.

8.Lebih buruk lagi seluruh umat Islam mengatakan pengharaman riba oleh Allah adalah tidak tepat dan tidak harus diikuti dan sistem kewangan kapitalis dan wang fiat yang dicipta oleh barat lebih baik digunakan. Setiap umat Islam tidak ada satu pun terkecuali, adalah penyokong kuat dan pencinta sistem barat ini. Setiap hari umat islam mengakui hukum Allah sudah lapuk dan tidak boleh digunapakai pada masa kini, walaupun kita tahu sistem kewangan fiat adalah riba yang diharamkan oleh Islam dan termasuk salah satu dari tujuh dosa besar. Ramai umat Islam menggunakan perbankan Islam walaupun kita tahu ia hanya kulit belaka dan walaupun umat Islam tahu perbankan Islam adalah sebahagian dari sistem fiat kapitalis. Kita juga tahu Bank Islam mencipta wang kredit melalui sistem rizab pecahan (fractional reserve system) walaupun ia jelas haram. Apa yang Islam dalam perbankan Islam hanya produknya sahaja tetapi punca modal dan dana bank untuk memberi pinjam kepada pelanggan adalah dari punca yang tetap haram.

9.Dalam masa yang sama akhbar dan majalah kita juga menyerupai akhbar dan majalah bukan Islam. Segala isu, kandungan dan dakyahnya tidak jauh berbeza. Selepas itu sila lihat para peniaga dan pengusaha, sepanjang siang dan malam melalui cara dan kaedah urusniaga yang mereka jalankan menunjukkan mereka mengakui bahawa undang-undang yang disyariatkan oleh Islam seperti kontrak, jual beli dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam bagi urusniaga yang dijalankan di pasar dan premis perniagaan adalah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan pada hari ini. Tidak ada cara lain bagi para peniaga dan para pengusaha yang menjalankan urusniaga di premis perniagaan kecuali menggunakan cara yang salah yang digunakan oleh orang yang tidak berpegang dengan agama yang benar, mereka yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat.

10.Apabila kita mahu dirikan sebuah sekolah atau sebuah kolej kita akan rujuk segala ilmu dan sukatan pelajarannya daripada orang-orang yang kufur dengan Allah dan rasulNya. Apabila kita mahu menubuhkan sesuatu pertubuhan, kita akan letakkan segala matlamat, peraturan asas dan rangka kerjanya sama seperti pertubuhan orang-orang kafir, sama tiada bezanya.

11.Negara kita bebas penjajah hasil perjuangan pemimpin-pemimpin nasionalis terdahulu. Pemimpin-pemimpin kita hari ini dipenuhi dengan pemimpin yang sangat nasionalis, memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Hasilnya nasib Melayu terbela. Hak dan kedaulatan Islam melayu terpelihara dan kukuh tidak tergugat sebarang anasir luar yang jahat cuba mengganggu gugat kestabilan tersebut. Umat Islam melayu sangat patriotik dalam bab perjuangan bangsa Melayu, kerana ia perjuangan untuk diri mereka, anak, cucu dan cicit mereka. Jangan ada bangsa lain cuba mempertikaikan ketuanan melayu ini, akan padah lah natijahnya. Kita pendokong dan penyokong kuat ideologi patriotis nasionalisma ini walaupun kita tahu Islam mengharamkan wasiatiyah ini dan Nabi saw sangat tegas mengharamkan amalan prejudis wasatiyah ini kerana ia perjuangan untuk menjadi juara kampung sahaja bukan juara diperingkat antarabangsa. Penindasan barat dan eropah keatas umat Islam hari ini adalah kerana umat Islam hanyalah juara kampung bak ayam berkokok megah di gelanggang sendiri, apabila masuk gelanggang di luar kawasannya, kokoknya tak berbunyi langsung. Kita hanya jadi tukang tengok apabila saudara kita di Palestin, Mesir, Syria, Sudan dan lain-lain diratah dan diperkotak katikkan hidup-hidup oleh negara barat yang kuat dan hebat ini.

12.para pemimpin kita dan juga mereka yang menentukan polisi ummah ini pula hanya memahami semangat kebangsaan atau semangat perkauman. Cara dan kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu isu nasional atau isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan dasar sama sepertimana yang digunakan oleh orang-orang kafir. Malah mereka dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan sebagai panduan atau cahaya yang dapat menerangi sebarang krisis antarabangsa berkaitan dengan perlembagaan dan dasar-dasar penting. Dalam masa yang sama, rakyat atau golongan majoriti ummah pula secara zahir membuat pengakuan melalui lidah mereka bahawa tumpuan mereka hanya berlegar sekitar soal keduniaan. Seolah-olah mereka tidak pernah dikurniakan oleh Allah sebarang agama yang boleh menjadi bahan perbualan mereka atau boleh mengisi masa mereka untuk mereka bincangkan. Inilah pengakuan lisan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini di negeri kita ini dan di seluruh tempat di muka bumi ini.

13.Negara kita juga ditadbir sangat baik sehingga negara kita dipanggil tiger of the east satu masa dahulu. Pentadbiran yang hebat ini diakui di seluruh dunia, walaupun kita tahu kaedah tersebut adalah acuan barat dan amat rapuh. Negara tersungkur beberapa kali apabila pasaran kewangan kita diserang sejak selepas kemerdekaan, walaupun setiap kali ia bangkit semula. Sepanjang sejarah sudah terlalu banyak kali ia berlaku, membuktikan betapa rapuhnya kita. Kita tak setuju dan marah jika pentadbiran negara dicampur adukkan dengan agama dan Al Quran, walaupun bibir kita mengakui bahawa Islam adalah agama syumul yang lengkap dan Al Quran adalah panduan yang lengkap dalam setiap aspek kehidupan manusia.

14.Malah tidak cukup setakat itu sahaja, seluruh cara pergaulan kita, makan kita, minum kita, keramaian kita, adat resam kita bersama keluarga dan dalam majlis perkahwinan, majlis kematian, perayaan kita, perhimpunan kita dan perarakan kita, semuanya menurut acuan jahiliyyah tradisi dan moden, bercampur aduk. Cuba sebutkan, adakah anda lihat apa-apa yang boleh melambangkan adab-adab dan akhlak Islam seperti yang diajar oleh pembimbing dan pemimpin kita, Nabi Muhammad s.a.w.?

15.Terlalu banyak contoh yang boleh diketengahkan bagi membuktikan syadah umat islam hari ini tidak lebih dari syahadah perkataan sahaja. Cakap lain buatnya lain. Syahadah perbuatan kita bagaikan tin kosong, kerana kita meninggalkan al quran dan sunnah. Kita mengasingkan agama dalam urusan kehidupan seharian, pentadbiran, mahupun kewangan. Kurang dari 1% umat islam hari ini yang tahu Bahasa Arab iaitu bahasa Al Quran. Maka kita sebenarnya sudah dapat menjangka kesannya apabila umat Islam diserang penyakit cakap tak serupa bikin.

16.Allahualam.

Rujukan: Abul A'la Al-Maududi, Shahadatul Haq

1 comment:

  1. 888 Casino Resort Spa, Scottsdale | JT Hub
    Casino Resort Spa has 7 restaurants, 8 bars, a sauna and a sauna. 하남 출장샵 We also 경상남도 출장마사지 have a 이천 출장샵 bar near the hotel. The spa 양주 출장마사지 offers a pool, a 삼척 출장샵 sauna, and a golf course. The spa

    ReplyDelete